Jumaat, 20 Februari 2009

Langkasuka

Langkasuka atau juga dikenali sebagai Lang-ya-shiu, Lang-chia-shu (China), Langasyuka (Arab) dan Ilangasoka (inkripsi Tangore) yang terletak di kawasan yang dikenali sebagai Pattani (dahulunya Kedah). Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak di Semenanjung Malaysia. Kerajaan ini bersama-sama dengan Kerajaan Kedah Tua berkemungkinan merupakan kerajaan yang paling awal di Tanah Melayu. Mengikut satu sumber, kerajaan ini diasaskan pada kurun ke-2 masihi. Legenda orang Melayu mendakwa bahawa Langkasuka diasaskan di Kedah, dan kemudian berpindah ke Pattani. Dipercayai bahawa Langkawi mendapat namanya daripada perkataan Langkasuka. Sumber-sumber sejarah tidak banyak tetapi mengikut satu rekod sejarah Dinasti Liang China (500 M) merujuk kerajaan itu sebagai "Langgasu" yang diasaskan pada kurun pertama masihi.
Nama Langkasuka juga ada disebut dalam tulisan-tulisan Melayu dan Jawa, sementara tulisan-tulisan dari China pernah menyebut sebuah negeri iaitu Lang-ya-hsiu atau Lang-chia-shu. Pada tahun 515 M Raja Bhagadatta menjalinkan hubungan dengan China. Hubungan itu dikukuhkan lagi dengan duta-duta dihantar pada tahun 523, 531 dan 568 masihi. Pada kurun ke-12, Langkasuka merupakan negeri naungan kepada Kerajaan Srivijaya dan pada kurun ke-15 ia digantikan dengan Kerajaan Pattani.
Pada tahun 1963, Stewart Wavell mengetuai satu ekspedisi Cambridge ke Langkasuka dan Tambralinga. Maklumat mengenai ekspedisi ini boleh didapati melalui buku "The Naga King's Daughter", terbitan Antara Books.